Artikel · Potret Online

Allama Muhammad Iqbal: Teori Personaliti dan Pembinaan Ego (Khudi) (2026)

Juni 10, 2026
3 menit baca 41
52f73ae3-a8ec-49f1-8740-a01455550ec8
Foto / IlustrasiAllama Muhammad Iqbal: Teori Personaliti dan Pembinaan Ego (Khudi) (2026)

Sinopsis Buku

Buku ini merupakan hasil penyelidikan tentang Allama Muhammad Iqbal (1877–1938), seorang tokoh pemikir Muslim terkemuka yang terkenal sebagai ahli falsafah, penyair, sarjana, pendidik dan pemimpin masyarakat. Karya ini bertujuan memperkenalkan idea-idea utama Iqbal mengenai manusia, pembangunan personaliti dan falsafah Khudi kepada pembaca umum serta golongan akademik.

Iqbal muncul pada awal abad ke-20 ketika dunia Islam berhadapan dengan pelbagai cabaran politik, sosial, intelektual dan spiritual. Keadaan umat Islam yang lemah akibat penjajahan, kemunduran pemikiran dan kehilangan keyakinan diri mendorong beliau mengemukakan satu falsafah pembaharuan yang berasaskan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Melalui puisi dan karya falsafahnya, Iqbal menyeru umat Islam supaya membangunkan kekuatan dalaman, memperkukuh sahsiah dan mengembalikan peranan mereka sebagai pembina tamadun.

Teras utama pemikiran Iqbal ialah konsep Khudi atau ego, iaitu satu falsafah yang menekankan pembangunan diri, kesedaran tentang potensi insan dan pengukuhan keperibadian. Menurut Iqbal, manusia tidak diciptakan untuk hidup dalam kelemahan, ketakutan atau penyerahan pasif kepada nasib. 

Sebaliknya, setiap individu memiliki potensi besar yang perlu dibangunkan melalui ilmu, amal, kreativiti, disiplin diri dan hubungan yang erat dengan Tuhan. Melalui pembangunan ego yang sihat dan dinamik, manusia dapat mencapai kecemerlangan peribadi serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan tamadun.

Sebagai seorang pemikir yang kritis dan berwawasan, Iqbal menentang falsafah penyangkalan diri, mentaliti hamba, pemikiran fatalistik, kepercayaan karut dan tasawuf semu yang menurut beliau menjadi antara faktor kemerosotan umat Islam. Pada masa yang sama, beliau tidak menolak pemikiran Barat secara keseluruhan. 

Sebaliknya, Iqbal menilai secara objektif kekuatan dan kelemahan tamadun Barat moden serta menegaskan bahawa kemajuan material perlu diseimbangkan dengan nilai-nilai agama dan pembangunan rohani.

Pemikiran Iqbal terus mendapat perhatian para sarjana di seluruh dunia kerana relevansinya dalam menghadapi pelbagai Cabara modern seperti krisis identiti, kemerosotan moral, kehilangan tujuan hidup dan kelemahan kepimpinan. Kajian terhadap karya-karya beliau menunjukkan bahawa banyak masalah yang diketengahkan oleh Iqbal masih wujud dalam masyarakat Islam dan masyarakat global pada hari ini.

Melalui buku ini, perbincangan difokuskan kepada latar belakang kehidupan dan pemikiran Iqbal, keadaan umat Islam pada zamannya, falsafah Khudi, potensi tersembunyi dalam diri manusia, hubungan ego dengan Tuhan, alam dan masyarakat, serta faktor-faktor yang menguatkan atau melemahkan perkembangan personaliti  insan. 

Buku ini juga menjelaskan bagaimana idea-idea Iqbal boleh dijadikan panduan dalam usaha membangunkan individu dan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berdaya maju.

Secara keseluruhannya, buku ini menawarkan satu pengenalan yang komprehensif kepada falsafah personaliti Iqbal dan kepentingannya dalam membina insan serta tamadun yang seimbang antara kemajuan material dan kecemerlangan spiritual.

Mohd Abbas Abdul Razak

Shaik Abdullah Hassan Mydin

10/6/2026

✦ ✦ ✦
Apakah tulisan ini bermanfaat?
Tulisan ini sepenuhnya menjadi tanggung jawab penulis. Redaksi tidak selalu sejalan dengan isi tulisan.
Tentang Penulis
Dr. Mohd Abbas Abdul Razak is a teaching staff member of the Department of Fundamental and Inter-Disciplinary Studies, AHAS KIRKHS, International Islamic University Malaysia.
Diskusi
Upload foto profil (opsional)
Memuat komentar...