Oleh Ahmad Noh
Kuantan, Pahang, Malaysia
Hujung minggu merupakan peluang untuk Rahmat keluar mencari barang keperluan dapur. Sebuah pasar raya berhampiran menjadi pilihannya. Peti ais di rumah yang sebelumnya penuh, kini semakin lengang. Ikan, ayam, sayur dan buah-buahan cuma tinggal sedikit sahaja lagi.
Pemanduan cuma mengambil masa 15 minit untuk tiba ke destinasi. Pasar raya Bintang menjadi tumpuan masyarakat setempat memandangkan harga yang ditawarkan berpatutan. Sebagai pengguna setiap orang perlu bijak berbelanja. Apatah lagi memandangkan kos sara hidup sekarang yang semakin meningkat.
Mata Rahmat liar mencari tempat parkir yang kosong. Dia memperlahankan kenderaannya di belakang kenderaan yang bersusun di ruang parkir. Semuanya penuh. Agak ramai pengunjung pada hari itu. Pandangannya tiba-tiba terpaku pada sekujur tubuh kurus tinggi yang melintas di hadapan mereka. Pakaiannya compang camping langsung tidak terurus. Berambut kusut masai. Melangkah dengan kaki tanpa beralas.
“Itu kawan ayah…,”spontan kata keluar dari mulutku.
“Kawan ayah?” serentak persoalan datang dari suri dan puterinya Husna, Khairiyyah dan Afzan yang ada bersama. Kehairanan.
“Ya…kawan sekampung…Basri namanya…dulu sama-sama main bola tiap-tiap petang di padang bola kampung…dia hebat main…lepas main bola sama-sama mandi sungai di hujung kampung…tapi usianya lebih tua dua tahun daripada ayah…” Rahmat bercerita pada keluarganya sambil tersenyum sendiri mungkin sedang mengingati kisah silam.
“Alhamdulillah…ada pun parkir kosong.” Sepasang suami isteri separuh abad sedang memasukkan barangan yang dibeli ke dalam perut kereta. Banyak barang mereka. Ada beras 10 kilogram berkampit-kampit. Banyak sayur-sayuran. Bawang berguni. Mungkin mereka peniaga.
“Tapi kenapa keadaan dia macam tu ayah?…macam tak siuman je…” Husna puteri bongsuku kembali bertanya tentang topik sahabatku tadi.
“Panjang ceritanya…nantilah ayah ceritakan…kita pergi cari barang dulu yer, dik..,” balas Rahmat seraya menggerakkan kereta Aruz putihnya memasuki ruang parkir yang telahpun dikosongkan dengan hati-hati.
Mereka turun dan terus bergegas memasuki pasar raya. Suri Rahmat, Azlina mengeluarkan senarai barang-barang keperluan yang ditulisnya malam tadi. Mudah urusan. Tidaklah mereka tercari-cari barang apa nak dibeli. Cara lama amalan mereka sekeluarga. Menjimatkan masa. Menjimatkan belanja. Jarang mereka membeli barangan lain kecuali jika perlu sahaja atau terlupa ditulis. Mereka terus mencari barang hingga selesai.
Sebelum memasuki kereta mereka terserempak sekali lagi dengan Basri. Rahmat memanggilnya lalu menghulurkan dua keping wang kertas berwarna merah. Basri mengambil sambil tersenyum. Mungkin dia masih mengenali Rahmat. Atau apa sebenarnya yang bermain di mindanya ketika itu.
“Habis sekolah dia terus jadi macam tu…,” Setelah merebahkan punggungnya di tempat duduk kenderaan Rahmat memulakan ceritanya.
“Sebenarnya dia ada penyakit mental keturunan…”
“Ayah dia pun macam tu…tapi keadaan tidak siuman tu bukanlah sepanjang masa …kadang-kadang dia akan jadi kembali normal…”
“Adik beradik dia yang lain normal je…”
“Tapi memang kasihan Basri ni…dia pun tak mungkin nak hidup macam tu…ke hulu, kehilir tak tentu arah. Makan pun harap ihsan daripada orang ramai…ada orang kata kadang-kadang dia tidur bawah jambatan je…” Rahmat memberhentikan kenderaannya di persimpangan lampu isyarat.
“Kadang-kadang ayah jumpa dia jalan kaki sampai ke bandar…”
“Jauhnya…,” mencelah Azlina, surinya. Puteri-puterinya tekun mendengar dari belakang.
“Yelah…masa tu mungkin dia dalam keadaan tak siuman…mana dia kira dekat atau jauh…”
“Sebab itu dalam agama juga ada berpesan berkaitan keturunan dalam urusan mencari jodoh sama ada lelaki ataupun wanita…”
“Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, ‘Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik. Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim’…” tambah Rahmat lagi sambil memecut keretanya menuju ke sebuah restoran untuk makan tengah hari.