GELANGGANG SATU JIWA
Kita bukan setakat nama dalam buku
kita seiring denyut nadi satu tanah air
berbagai bangsa dan keturunan
hanyalah berbeza kulit warna darah sama merahnya
Di warung pagi tanpa darjat dan pangkat
teh tarik roti canai di meja sama
ceritanya sama
bergurau senda gelak ketawa
tanpa curiga
Azan di masjid mendayu
loceng di kuil berbunyi
alunan nyanyian di gereja
Tuhan menyuruh kita hormat setiap anutan
Bila banjir melanda siapa tanya bangsa
semua angkat beras, semua tolak sampan
bila rumah terbakar siapa kira bangsa
Semua siram air, semua selamatkan nyawa dan harta benda
Perpaduan bukan hanya slogan di papan kenyataan
peluh di jalanan dingin di pejabat indah
tanpa ego tanpa menang
dengar dahulu sebelum menjawab
Anak – anak kita berkongsi meja,berkongsi mimpi
tulisan khat sebelahnya tulisan kaligrafi
nasi lemak sebelah pau sama kenyang
bendera satu tiang, sama berdiri
sama nyanyiannya
Lihatlah jauh di Gaza
saudara kita derita
kita berbeza, tapi luka sama-sama rasa
kerana perpaduan mengajar erti manusia
sakit kau, aku rasa
senang kau, aku syukur
rapatkan saf, rapatkan baris
gelanggang ini milik kita namanya Malaysia
itulah bangsa kita
Abdul aziz ali
Ipoh Perak
17.6.2026
API DALAM JIWA
Jiwa menyala terang
aspirasi membakar semangat
jalan liku jauh ditempuh
onak menjadi bunga
Tangan menggenggam harapan
kaki memijak realiti
Hati mempercayai segalanya
masa menguji kesetiaan
Jatuh bangun kebiasaan
menang kalah pelajaran
terus melangkah maju
cahaya menanti masa hadapan
Abdul aziz ali
Ipoh Perak
23.8.2026
TANAH MENGGIGIL DUKA
Bumi Kathmandu bergetar
rumah runtuh sekelip mata
jerit pecah kesunyian
debu tutup harapan
Tangan menggali timbunan puing
air mata bercampur keringat
nama hilang sepi
keluarga tercarik sayu
Langit menangis pilu
doa naik tinggi
dunia menghulur bantuan
Luka diajar kuat
Semoga yang pergi tenang
yang tinggal diberi kekuatan
Abdul aziz ali
Ipoh Perak
30.8.2026
Diskusi