Membentuk Citra Kepimpinan Muda Menerusi Program Pahang Lead

Oleh Nasrul BK
Program Pahang Lead, sebuah inisiatif strategik anjuran Kerajaan Negeri Pahang Malaysia, melalui Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dengan kerjasama erat Yayasan Pahang (YP), terus membuktikan impak dan keberkesanannya dalam melahirkan generasi pelapis yang berkualiti, berdaya saing, serta berjati diri tinggi.
Program yang dirangka khusus ini bertujuan mencungkil potensi kepimpinan dalam kalangan anak muda Pahang, di samping membentuk sahsiah diri yang berwibawa, beridentiti teguh, dan mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air, khususnya negeri Pahang Darul Makmur.
Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan seramai 66 orang pelajar sekolah menengah dari seluruh pelosok negeri untuk dikenal pasti sebagai pemimpin muda berbakat menerusi pelaksanaan modul komprehensif ini.
Sebagai pembuka tirai pelaksanaan, siri pertama program telah digerakkan bagi Daerah Kuantan, melibatkan seramai 40 orang pelajar Tingkatan 5 yang terpilih berdasarkan kecemerlangan akademik dan kepimpinan mereka.
Sepanjang program intensif yang berlangsung selama 4 hari 3 malam ini, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti holistik yang merangkumi aspek fizikal, intelek, serta pengukuhan jati diri kenegaraan.
Antara pengisian utama program termasuklah slot pengurusan strategik, simulasi pilihan raya kepimpinan, penulisan kertas kerja projek komuniti, serta kelas pengukuhan akademik bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sejarah, dan Matematik.
Selain itu, aspek kecergasan fizikal turut diuji melalui aktiviti ‘Jejak Daerah Pahang’ yang disusuli dengan sesi interaktif berimpak tinggi seperti ‘Projek Khas: Kome vs Komuniti’ dan sesi Town Hallbersama Pemimpin Kerajaan Negeri Pahang.
Majlis perasmian penutupan program telah disempurnakan dengan penuh gilang-gemilang oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Tuan Haji Shaiful-Azizi Sukri bin Mohd Kassim. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan peri pentingnya persediaan minda dan kemahiran insaniah bagi mendepani cabaran kepimpinan masa hadapan.
Menurut beliau, “Menjadi pemimpin memerlukan kebijaksanaan dalam mengurus organisasi, mempunyai pemikiran yang kritis, pandai menyelesaikan masalah dan bijak membuat keputusan.”
Dengan berakhirnya siri pertama ini, Program Pahang Lead dijangka akan terus memacu momentum cemerlang dalam membina modal insan berkualiti tinggi. Kem Komander bagi Siri 1 2026, Nasrul Isyam Abdul Hamid berkata,” Program ini dapat merealisasikan hasrat negeri untuk melahirkan barisan kepimpinan muda yang bukan sahaja bijak berwacana, malah tangkas bertindak demi kesejahteraan masyarakat”.
Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Tuan Haji Shaiful-Azizi Sukri bin Mohd Kassim bergambar bersama peserta, fasilitator, urusetia dan guru-guru pengiring seusai majlis.














