Kota Bharu – Potretonline.com- Mesyuarat kali kedua Pelaksanaan Hari Puisi Malaysia (HPM) Ke-5 Tahun 2024, telah berlangsung pada 4 Mei 2024 (Sabtu) di Bilik Mesyuarat Pusat Pembangunan Mahasiswa, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kota Bharu, dekat sini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim itu dihadiri seramai 10 orang yang terdiri daripada Encik Ikram Fadhly Hussin (DBP), Puan Suriatina Mat Salleh (USM), Dr.Tuan Nordin Tuan Kechik (GEMA), Tuan Haji Anuar Musa (PESISIR), Encik Nik Azman (PESISIR), Encik Marzelan Md Jusoh (PEMUISI), Datin Nurmala Mas’odi (PEMUISI), Puan Julia Ikin (PEMUISI) dan Encik Shareezad Satad (PEMUISI).
Dalam ucapannya, Radzuan memaklumkan beberapa pihak telah sudi menjadi rakan strategik menganjurkan sambutan HPM ke-5 pada tahun ini. Dan pihaknya sedang mengemaskini senarai nama-nama individu dan organisasi yang terlibat serta hal-hal yang berkaitan dengan dana dan penajaan program.
“Insyaallah, segala persiapan telah bermula dan jawatan kuasa pelaksanaan program sambutan HPM ke 5 tahun 2024 juga telah dibentuk. Saya harap segala perancangan kita akan berjalan lancar apabila semua ajk dan mereka yang terlibat bekerja dan menunaikan segala tanggungjawab yang diamanahkan”, katanya.
Pelbagai tajuk dan perkara dibincangkan termasuk pembahagian tugas ahli jawatankuasa pelaksana,agensi-agensi terlibat, persiapan peralatan, tempat dan pengisian program, undangan orang kenamaan dan para peserta dan banyak lagi ketetapan berkaitan program telah dicapai.
Sambutan Hari Puisi Malaysia (HPM) yang jatuhnya pada 13 Jun setiap tahun telah diisytiharkan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia bermula tahun 2021. Sejak tahun lepas (2023), kemuncak sambutan HPM diadakan secara bergilir antara negeri-negeri dan negeri pertama yang menjadi tuan rumah ialah negeri Melaka. Acara kemuncak sambutan telah diadakan di Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) Melaka, Air Keruh dengan jayanya dan dirasmikan Ketua Menteri Melaka. Manakala tahun ini, sambutan akan diadakan pada 13 dan 14 Jun 2024 di Universiti Sains Malaysia, Fakulti Perubatan Kubang Kerian Kota Bharu, Kelantan.
Berbagai acara menarik sedang disusun termasuklah Seminar Perkembangan Puisi Mutakhir Malaysia, Program Bedah Buku Puisi, Penerbitan Antologi Puisi ‘Perpaduan Kukuh, Malaysia Teguh’, Sayembara Deklamasi Puisi Hari Puisi Malaysia 2024 Peringkat Antarabangsa, dan Malam Kemuncak Puisi syahdu, Bisikan kalbu.
Semua program terbuka kepada pemuisi dan peminat puisi samada di dalam ataupun di luar negara.
Keterangan lanjut akan diumumkan dari masa ke semasa. Marilah kita sambut Hari Puisi Malaysia (HPM), satu hari yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia (yang diisyiharkan Menteri MOTAC sejak tahun 2021) bagi semua golongan pemuisi tanah air. Peneraju utama PEMUISI – Suara Kemanusiaan Sejagat.