Oleh Mohd. Adid Ab. Rahman
Berdomisili di Melaka, Malaysia
Di bawah depangan sayap musim
nyaman duduk bersama orang dicintai
tiada rindu mencengkam bimbang menikam
sekali lagi aku diberi keluasan masa
memaknai Ramadan yang ditunggu-tunggu
bulan istimewa kaya sinaran
sementara jiran sebelah
telah lebih dahulu menutup usia
kerana masanya sudah
Aku yakin semalam pengabdianku
belum benar-benar mengena, banyak luka celanya
maka Ramadan ini aku kan tambah kegigihan buru ampunan-Mu
tawaran pahala berganda-ganda
semisal satu malam lebih baik 1000 bulan
setiap detik yang bergulir tak kekosongan
semuanya ada harga ketaatan
Tuhan, aku mohon pada-Mu
sampaikan langkahku ke penghujung Ramadhan
biar terpetik ranum manisnya buah takwa
Karya,
Mohd Adid Ab Rahman
Melaka, Malaysia.
25 FEB 2024