Selepas Hujan
Oleh Mohammad Adid AB Rahman
Pelangi turun dari persembunyiannya selepas hujan
bangga mempertoton warna-warna bahasa indah
damaikan jiwa sebuah negeri aman merdeka
terlerai dari cengkam penjajahan yang melukakan
semua orang jadi kecanduan
lahirlah sebuah panorama jelita
terpantul dari wajah bidadari syurga
Aku bersyukur dapat melihat lagi pelangi
seperti kumpulan doa wangi diberikan kehidupan sempurna
atau suara memuji keagungan Ilahi dari hamba yang merindu
walaupun hadirnya tak begitu lama
tapi cukup menabur benih harapan di jiwa
dan lesap segala galau kecewa yang sempat dideritai
Selepas hujan
udara basah dan sawahku kembali subur
kuharap meriahlah nanti di musim menuai tiba
Karya
MOHD ADID AB RAHMAN
SELANDAR, MELAKA
30 JAN 2024