TIBA-TIBA SAJA KAU MENAIKI KERETA PERGI KE WILAYAH LENYAP
Tiba-tiba saja kau menaiki kereta pergi ke wilayah lenyap
pelita terpadam di gubuk buruk di belasah angin lalu timbul gelap
bagai nasib malang orang-orang tertindas hanya kerana kemiskinan
itu bangsaku sendiri, kerana malaskah atau takdir yang salah?
betapa pedih batin ditusuk belati
seperti kisah mangsa covid19 satu demi satu tumbang
tidak ada yang mampu menghiburkan
kecuali hati yang sabar, doa berterusan dan pasrah
Kau tak pernah nyalakan lampu isyarat di persimpangan
bagiku peristiwa berlaku terlalu pantas, tak terduga
ketika belum sepenuhnya aku terjemah dan membaca kau
Aku bersama sepi pada pusara pahlawan tak dikenang
walau semalam berjuang tegakkan keadilan di negeri ini
kini aku taman tanpa bunga
kau daun yang tinggalkan dahan
moga esok menghulurkan tangan
ketiadaanmu berganti
hidupku meriah dengan langgam-langgam bulan
Karya,
MOHD ADID AB RAHMAN
Jasin, Melaka
24 Disember, 2021
BEKAS AMUKAN BANJIR
Tinggal kini bekas amukan banjir semisal kereta mewah atau tidak
rumah besar atau kecil semuanya ranap sama sekali
para penduduk seorang insan yang baru sampai di dunia
tidak memiliki apa-apa, kosong dan fakir. Amat menyayat hati
apalah erti kesombongan pada harta dan takhta
Tanyamu, apakah ini akibat kebobrokan tangan manusia
bertindak manyalahi akhlak, peraturan dan hukum Tuhan?
mungkin musibah didatangkan untuk mengetuk pintu keinsafan
segera kembali memaknai surat-surat wahyu
yang sekian lama terlepas
Hujan sudah luruh seperti daun kering disapu angin
matahari bersinar beri kehangatan pada sisa-sisa banjir
seperti memujuk jiwa-jiwa yang luka
memahami setiap musibah yang menimpa
sebagai ujian untuk mengukur iman sekukuh apa?
Nukilan,
MOHD ADID AB RAHMAN
Melaka, Malaysia
23 Disember, 2021
Mohd. Adid Ab. Rahman. Sekarang bermukim di Melaka dan Mengajar di SMK Iskandar Shah, Jasin.. Pernah menuntut ilmu di Universitas Islam Negeri Banda Aceh dalam jurusan Dakwah dan Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor. Menulis sejak 1990an hingga sekarang, terutama puisi. Sudah memiliki puluhan antologi bersama di antaranya Antologi C.Antagonis (ASWARA 2020), Munajat untuk Palestin (PPJ 2021) Antologi ‘Belati Cinta Zulaikha’ (2003) ‘Kebentangkan Sehelai Peta’ (2014) menjadi teks KOMSAS SPM, Sejernih Embun (KS 2021) VIRUS (GAPADU 2021) Karya tersiar di pelbagai media antara lain Majalah Dewan Sastera, Mingguan Malaysia. Berita Harian, Utusan Borneo, Harian Ekspres. Majalah online seperti Lamanriau.com , Potret Online com, sksp-literary.com, Sabah360 online. Sekarang menjadi ahli Ikatan Persurat Melayu Melaka (IPM)