Dengarkan Artikel
Bebaskan Aku Dari Pasung Dan Rantaimu
biarlah aku berbicara
tanpa rantaimu yang panjang berjela
membelit hasratku
menjerut mantikku
biarlah aku bersuara
tanpa hukum mu yang cukup mendera
aku hanya mahu bercerita
bukan mahu menjadi pendeta
atau mahu memahat qanun pada hamparan prasati suci
janganlah kau melemaskan aku dengan memasung nalarku dengan segala nisbah sintingmu itu
bebaskan aku
tinggalkan aku dengan suara aku
biarkan aku dengan langgam aku
sekali pun lenggoknya lancang dan tandaknya liar
biarlah ia menjalar dan melata di celah-celah retakan makrifat mu
bebaskan aku dari pasung dan rantai paripurnamu
aku berjanji tidak akan mengkusai berhalamu
-ZachBasheer.11.Nov.2024.Tanjung-
Peratah Wangsa, Penggerit Negara.
tunjukkan aku politikus yang tidak pernah meratah wangsa
aku akan tunjukkan kau
haruan yang tidak memakan anaknya
yakinkan aku yang ada politikus yang tidak pernah menggerit negara
aku akan tunjukkan kau juga
buaya yang menolak bangkainya.
aku bukan benci mereka
aku cuma tak percayakan mereka
tidak lagi
aku juga tidak berbisik agar kau meludah mereka
aku hanya mahu kau berjaga-jaga
aku manusia
kau manusia
mereka manusia
cuma peluang, kuasa dan batu godaan lebih terkepuk di atas tengkuk dan riba mereka
tak ramai antara mereka yang mampu menjinakkanya.
jika ada pun, percayalah,
tidak lama
📚 Artikel Terkait
berwaspada, tajam mata, lanjut akal dan waraslah tika kita syahdu mengusung mereka.
jangan sesekali jadikan mereka dewata
jangan sesekali berkongsi tamak dengan mereka
jangan dibiarkan kita dijadikan korban suci mereka
yang dikibar di bawah panji, bangsa, agama, mahu pun setia negara
-ZachBasheer.15.Sept.2024.Tanjung-
Mengikat Mentari.
jika aku mampu menahan mentari
dari memanjat hari,
akan aku tambatnya di kaki langit,
sembari menunggu dan menanti
sehingga para wali kuasi
yang tertenggek di kanan,
dan bertenggek di kiri,
di lantai rumah suci konglomerasi,
bersumpah yang kami tak akan dilancung dan didusta lagi
jijik aku mendengar keasyik erotis mereka bergaduh mengira kerusi,
dari mereka mahu mengira berapa mulut populasi yang belum mampu menjamah nasi untuk hari ini
licik mereka yang tekun itu, menghampakan aku,
menghampa kita,
buat aku mual dengan janji,
buat aku meloya dengan percaya
yang dijaja mereka
percaya yang aku tumpahkan kepada mereka
sambil terjilat janji basi-manis mereka itu semua
ya kita lapar
ya kita teramat dahaga
kita mahu menuntut nafkah warga
yang sudah lama kontang dan hilang
dibiar ternganga
diheret, diseret dan disurut mereka
dengan ber-BIN-kan nama kita
Jangan sampai aku padamkan
kalor api yang mendakap matahari dihujung hari
dengan jirusan air mata kecewa bendungan para kuwala
ia tidak akan menguntungkan sesiapa
-ZachBasheer.9.Sept.2024.Tanjung-
BIO DATA PEMUISI
Nama sebenarnya *Zakaria Basheer Bin Ahmad Basheer* adalah anak Peranakan Arab-Melayu Nusantara kelahiran di Tanjung (sebuah perkampungan yang dibuka oleh seorang Putera Acheh pada abad ke 18, Pulau Pinang, Malaysia.
Mendapat pendidikan menengah di sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara, Penang Free School.
Beliau kemudian melanjutkan pengajiannya di peringkat Sarjana Muda Dengan Kepujian di dalam Bidang Komunikasi (Pengkhususan Penyiaran Televisyen dan Penerbitan Filem), di Universiti Sains Malaysia (USM)
Sebaik selepas itu beliau melibat diri di dalam bidang penyiaran televisyen sebagai penulis skrip dan pengurus penerbitan rancangan.
Beliau kemudian kembali ke USM (Rancangan Komunikasi) sebagai tenaga pengajar dan instruktur di dalam bidang penyiaran televisyen dan penerbitan filem. Beliau juga menjadi tenaga pengajar di dalam kursus penulisan skrip dan lakon layar, dan juga kewartawanan foto.
Beberapa tahun kemudian beliau melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di dalam bidang Pengajian Filem di USM.
Sejurus selepas itu beliau menjadi pensyarah di sebuah kolej swasta di Pulau Pinang, mengajar di dalam bidang, Filem dan Televisyen, Photografi, dan Perhubungan Awam.
Beliau hanya aktif di dalam bidang penulisan puisi bermula pada tahun 2019.
🔥 5 Artikel Terbanyak Dibaca Minggu Ini





