Dengarkan Artikel
Rosli K. Matari
Malaysia
Tuan Tabrani
yang saya hormati.
Dikirimkan, ini pun sajak juga
saya tulis seimbas senja,
meminjam huruf-huruf yang
sudah agak pudar dari bayang.
Sajak ini di Pantai Kemayang,
pantai timur Semenanjung
pada peta, hadapan
bergelombang Laut China Selatan.
Jauh dari Aceh, kecuali deru
angin, ombak, dan rhu
itu sahaja
tentu sama, di sana.
Sepi di bawah ketapang ini
saya mengenang, usia yang
berdebu, selalu pergi.
Susup-sasap, hilang.
Selalu saya tulis puisi
mengungkap daun, bayang
mengingat, suatu hari
saya akan ke titik hujung.
Hidup ini mudah hancur.
Tinggal kubur,
dan daun kemoja gugur.
Tetapi puisi
kekal, abadi
walau saya tak ada lagi.
Setitik noktah pun,
tak hilang seperti embun.
📚 Artikel Terkait
Ah, sedang apa, agaknya
Mustiar di Meulaboh,
tentu mengarang ombak, senja
rawan, cinta, dan subuh.
Puisi tak selesai
mungkin disimpan mimpi.
Adinda Hamdani Mulya,
lama tak dengar
berita,
apa-apa khabar.
Sibuk mendidik, ya
ajarlah anak bangsa
ilmu itu cahaya
dari dunia ke Syurga.
Silap doktor, seorang sahaja
pesakit mati.
Silap pendidik, tahu ya
rosak satu generasi.
Sdr. Zab Bransah,
saya lupa nama daerah
puisinya indah-indah
seperti fajar, horizon cerah.
Tetapi malam-malam,
saya tahu dia suka ngopi
menulis puisi, segala pendam
dari kenangan terendam.
Ya, luluh-lantak, hidup ini
tidak pernah mudah
indah bukan kerana berlari,
tetapi kerana pernah rebah.
Luka,
itulah kehidupan, sebenarnya.
Dalam hidup ini, seribu bunga
ah, gugur meninggalkan kita.
🔥 5 Artikel Terbanyak Dibaca Minggu Ini






