
Oleh Alkhair Aljohore@
Tuhan-Tuhan Kecil di Meja Bulat
Mereka duduk di meja bulat,
berlagak seperti takdir dunia berputar di jari mereka;
seolah-olah Tuhan pernah melantik
mereka sebagai wakil-Nya.
Mereka menyebut “keamanan”
seperti zikir yang kehilangan roh,
diulang-ulang
hingga maknanya mati
di lidah sendiri.
Wahai kuasa global;
kau bukan penjaga dunia,
kau hanya pedagang cemas
yang takut kehilangan takhta,
lalu menjual ketakutan
sebagai polisi luar negara.
Kau tidak memerangi musuh;
kau memerangi bayangmu sendiri,
yang semakin jelas
setiap kali bom dijatuhkan.
Dan kau tahu itu.
Sebab itu kau cipta istilah:
“serangan balas”,
“kepentingan strategik”,
“kerosakan sampingan”;
kata-kata kosmetik
untuk menutup bau darah
yang tak pernah sempat kau cuci.
Betapa lucu;
kau menghukum dunia atas kekacauan,
sedangkan kau arkiteknya.
Kau menulis undang-undang,
lalu menjadi pengecualian pertama.
Kau mencipta mahkamah,
lalu berdiri di luar pintunya
dengan senjata.
Dan ketika dunia bertanya;
kau jawab dengan veto.
Ah… veto!;
itu bukan kuasa,
itu pengakuan halus
bahawa kebenaran terlalu lemah
untuk berdiri tanpa paksaan.
Wahai empayar moden,
yang berselimut demokrasi,
tetapi berurat kerakusan;
kau bukan polis dunia,
kau hanya penyamun
yang berjaya meyakinkan mangsa
bahawa rompakan itu
adalah perlindungan.
Namun ingat;
sejarah tidak tidur,
dan Tuhan tidak buta.
Ketika kau membina menara kuasa
dari serpihan negara lain,
kau lupa satu perkara:
setiap batu yang kau pijak
adalah doa orang tertindas
yang naik diam-diam
menembusi langit;
dan doa itu
tidak pernah gagal mencari alamat.
Alkhair Aljohore@
14.4.26










© 2026 potretonline.com








Diskusi