Dengarkan Artikel
CINTA NUSANTARA
Cinta ini
adalah lautan luas
penyatu pulau-pulau jiwa
Angin Selat Melaka berbisik
beralun ombak membawa rasa
ke tanah besar Sumatera
terjalin satu ikatan
Syahdu cintaku terikat
pada langit yang sayu
saat Acheh kukunjungi
ketika peristiwa pilu tsunami
Kepulauan nusantara ini
persamaan dua budaya
akupun bernafas
dalam denyut nadinya
Hajar’ul Aswad@1
PUCHONG
SELANGOR MALAYSIA
5 Februari 2026
—
SAHABAT DUA BENUA
Selat Melaka
membawa ucap salam
meski laut memisahkan hati
tetapi ombak berpesan rindu
jarak menjadi dinding
tetapi doa saling teriring
Bumi Acheh
yang sarat sejarah luka
📚 Artikel Terkait
pertemuan takdir
melalui jari jemari puisi
di atas petak sastera
Kumpulan Pemuisi Perak
Persahabatan
jiwanya merentas benua
simpulan budaya serupa
rencana yang tertulis
sebelum sama-sama
bersua muka
namun tinta menemukannya
Hajar’ul Aswad@2
PUCHONG
SELANGOR MALAYSIA
5 Februari 2026
—
SEKAWAN CAMAR
Dari jendela itu
kulihat sekawan camar
terbang beriringan
sayapnya menulis doa
pada helaian angin yang tenang
Di langit jingga
terlihat mereka keriangan
memaknai erti hidup
walau tidak bersuara
namun damainya terasa
Di hujung reranting
mereka singgah merapi diri
bercermin air di tasik
memanjat doa keampunan
sebelum berakhir
jalan pulang menuju tenteram
Hajar’ul Aswad@3
PUCHONG
SELANGOR MALAYSIA
5 Februari 2026
—-
BIODATA:-
Anak kelahiran Negeri Selangor.
Nama sebenar adalah Hajar bt Sharif, tetapi lebih dikenali dengan Hajar’ul Aswad sebagai nama pena beliau dalam semua karya-karya puisinya.
Pernah bekerja di Fakulti Pergigian Universiti Malaya.
Ahli Pemuisi Nasional Malaysia merangkap Ahli Biro Pemuisi Negeri Perak, memulakan karyanya sebagai penulis puisi sejak tahun 2016. Beliau pernah menghasilkan beberapa buah antologi dengan beberapa buah penerbitan termasuk 5 buah Antologi Puisi bersama Biro Pemuisi Negeri Perak.
🔥 5 Artikel Terbanyak Dibaca Minggu Ini






