Dengarkan Artikel
WUJUD DENGAN RASA
Di antara nama dan doa yang disembunyikan,
Cinta berdiri sebagai rahsia setia;
Tidak menuntut lidah menyebut janji,
Cukup diam yang mengerti maksud hati.
Ia menjelma dalam sabar yang panjang,
Seperti senja menunggu malam;
Mengajar jiwa tentang menahan,
Bukan tentang memiliki.
Cinta demikian sifatnya—
Hadir tanpa suara,
Pulang tanpa menuntut.
ZÉIA@1
03.02.2026
TIMBANGAN KEMANUSIAAN
Di timbangan dunia yang pincang,
Ada jiwa yang diringankan derita;
Ada nasib yang digalas seorang,
Tanpa bahu untuk bersandar.
Namun tangan yang memberi tetap terbuka,
Walau dirinya juga serba tiada;
Kerana kemanusiaan bukan sekadar kata,
Ia perbuatan yang memuliakan luka.
Di situlah martabat manusia,
Ditegakkan oleh belas dan empati.
📚 Artikel Terkait
ZÉIA@2
03.02.2026
ASMARA DUNIA
Terlihat kasih pada wajah letih,
Yang menyimpan tabah di balik senyum,
Pada ibu yang menelan tangis,
Agar anaknya belajar erti kuat.
Mahabbah bukan hanya harum mawar,
Ia juga hanyir peluh perjuangan;
Namun dari situlah ia bernyawa,
Menjadi nadi kepada yang hampir rebah.
Mawaddah dunia bukan milik sepasang,
Ia milik semesta yang mencari sembuh.
ZÉIA@3
04.02.2026
HALAMAN INSAN
Di halaman waktu yang tidak bernama,
Tertera jejak langkah yang dipadam hujan;
Namun bekasnya tinggal di tanah hati,
Menjadi tanda bahawa pernah ada luka.
Tangan-tangan asing saling bersua,
Bukan kerana janji, tetapi kerana perlu;
Satu menghulur, satu menyambut,
Di antara runtuh dan bangkit yang silih berganti.
Di situlah manusia mengenal diri,
Bukan pada kata, tetapi pada perbuatan,
Bukan pada nama, tetapi pada budi.
ZÉIA@4
04.02.2026
BIODATA ZÉIA

ZÉIA, nama pena bagi Zulaika Eliya, lahir di Ipoh, Perak. Lulusan Seni Halus dari UiTM dan kini berkhidmat sebagai guru sekolah menengah di sebuah sekolah swasta.
Sejak 2020, ZÉIA aktif dalam puisi dan penulisan kreatif dengan tumpuan pada tema cinta, kemanusiaan sejagat, dan realiti kehidupan, dengan gaya yang memadukan aroma klasik Melayu dan pendekatan kontemporari.
Beliau juga aktif bersama PEMUISI Negeri Perak dan telah terlibat dalam penerbitan empat (4) buah buku antologi bersama barisan ahli pemuisi.
🔥 5 Artikel Terbanyak Dibaca Minggu Ini






