Dengarkan Artikel
PENGORBANAN AYAH HINGGA HUJUNG NYAWA
Ayah melangkah dalam diam tanpa suara,
menanggung lelah yang tak pernah bersuara,
peluhnya gugur sebelum fajar menyapa,
hatinya keras demi anak dan keluarga,
bahunya memikul dunia yang tak terlihat,
namun senyum tetap setia di wajahnya,
tak pernah mengeluh walau jiwa merintih.
Setiap titis keringat adalah kasih sejati,
disembunyikan letihnya di balik langkah pasti,
mata tuanya menyimpan seribu cerita,
tentang perjuangan yang tak diminta balasan,
tentang harapan agar anak-anak berjaya,
tangannya kasar namun lembut membela,
melindungi kami walau diri terkorban.
Ayah sanggup berjalan dalam kelam,
agar kami melihat terang masa depan,
tak pernah ia memilih jalan mudah,
pengorbanan itu dijahit dengan sabar,
dari titik mula hingga hujung nyawa,
cintanya pahlawan yang tak bernama.
Kini rambutnya memutih disulam usia,
namun semangatnya tetap muda dan menyala,
ayah adalah tiang dalam rumah cinta,
menahan badai dan menjadi payung setia,
pengorbanannya bukan untuk dipuja,
tapi untuk dihargai sepenuh jiwa,
doaku tak pernah lekang untuknya.
Ayah, walaupun susukmu sudah dimamah maktu,
jasa baktimu tak dapat terbalas waktu,
tiap nafasku membawa syukur dan restu,
atas segala yang telah kau tempuhi,
kau tinggalkan jejak kasih yang agung,
hingga akhir hayat, hingga hujung nyawa,
namamu kekal di takhta hati selamanya.
Karya: CikguIman33SG
16 Jun 2025
Pengetua SMK Tun Sri Lanang,
KASIH PADA IBU TIADA PENGHUJUNGNYA
Dalam dakapanmu kutemui tenang,
doamu lembut, menyentuh ruang,
wajahmu redup tapi bercahaya terang,
menjadi pelita kala dunia menghilang,
tangisanmu adalah doaku terangkat,
setiap peluhmu membasuh dosaku,
kasihmu ibu, tiada taranya waktu.
Kau ajar aku erti sabar dan reda,
mengukir senyum walau hatimu lara,
bila dunia menolak, kau tetap menerima,
tanpa syarat, tanpa soal, penuh setia,
langkahmu perlahan tapi penuh makna,
menjadi bayang yang tak pernah hilang,
hingga akhir nafasmu, aku tetap anakmu.
Waktu silih berganti, rambutmu memutih,
namun tanganmu tetap mesra membelai,
📚 Artikel Terkait
engkau guru, engkau sahabat, engkau perisai,
segala cinta dunia tak mampu membanding,
tiap hari ku titip namamu dalam doa,
agar kau sentiasa dalam rahmat-nya,
ibu, syurgaku bermula dari tapak kakimu.
Tiada kata yang dapat membalas jasa,
tiada harta yang menyamai pengorbanan,
cinta padamu mengalir dalam nadi,
melebihi angin, lebih dalam dari lautan,
kau punca kekuatan dalam diriku,
kasih padamu mengikat roh dan jiwaku,
hingga akhir hayatku, kaulah segalanya.
Andai waktu diberi untuk ku ulang kembali,
ku mahu detik bersamamu tak pernah pergi,
ibu, kaulah cahaya dalam kelam hatiku,
tiada penghujung kasih yang kau curah,
aku janji, doaku takkan pernah putus,
dari pagi ke malam, dari dunia ke akhirat,
kekal dalam cinta, kasih padamu abadi.
Karya : Sariman Haji Husin,
17 Jun 2025
Pengetua SMK Tun Sri Lanang, Tangkak,
RAHSIA ITU AMANAH
Tersembunyi diam dalam dada,
tiada bersuara, tiada bicara,
meski menggigit rasa percaya,
ia bukan milik untuk dikata,
dipegang erat seumpama janji,
amanah jiwa, bukan untuk diuji.
Kadang rahsia datang dengan luka,
menangis ia dalam senyuman nyata,
namun lidah dikunci oleh setia,
tidak tergoda walau ingin berkata,
kerana di balik rahsia yang disimpan,
ada maruah, ada kepercayaan.
Hati yang setia tak akan membuka,
pintu rahsia walau digoda dunia,
kerana amanah bukan barang mainan,
ia ujian untuk insan yang beriman,
sehalus debu namun berat ditanggung,
menjadi saksi dalam diam yang agung.
Jangan kau khianat kepercayaan itu,
walau satu huruf, jangan dibuka pintu,
kerana sekali pecah, musnah segalanya,
lebur kepercayaan, sirna harga dirinya,
peganglah rahsia seumpama nyawa,
kerana rahsia itu amanah selamanya.
Karya: Sariman Haji Husin,
17 Jun 2025
Pengetua SMK Tun Sri Lanang, Tangkak.
MERAYAKAN KATA, MENGANGKAT BUDAYA
Dalam helai kata tersisip makna bangsa,
bersuara lembut namun menggugah rasa,
puisi bukan sekadar indah di telinga,
tapi cermin jiwa warisan yang lama,
menjadi lidah budaya yang mulia.
Setiap bait adalah nyawa sejarah,
dari lisan nenek moyang yang gagah,
disulam halus dalam pantun dan gurindam,
membina jati, menyulam maruah,
agar tak lekang ditelan zaman kelam.
Seni bicara bukan sekadar hiasan,
tapi senjata membentuk kesedaran,
merayakan kata, kita merawat luka,
menyulam damai dalam perbezaan,
menjadikan bahasa jambatan peradaban.
Budaya bukan hanya warisan pusaka,
tapi nafas hidup yang terus menyala,
dalam irama, tarian, dan madah,
tersimpan nilai, roh, dan jiwa,
yang membentuk kita siapa sebenarnya.
Mari kita angkat kata penuh cinta,
bukan hanya untuk pujian semata,
tapi untuk hidup yang lebih bermakna,
agar budaya terus berharga,
menjadi suluh bangsa sepanjang masa.
Karya: Sariman Haji Husin,
18 Jun 2025
Pengetua SMK Tun Sri Lanang, Tangkak.
🔥 5 Artikel Terbanyak Dibaca Minggu Ini



















