Dengarkan Artikel
Oleh Zainatul Shuhaida Abdull Rahman
Pensyarah Kanan, University Teknologi MARA Shah Alam, Selangor, Malaysia
SUKMA
Lengahkah hati jika akad merudung sunyi
Pada hari bahagia batin dibeli dengan janji
Sebutir permata menjadi pemaut
Kukuh emas tempawan berlian embun berseri
Sebagai saksi cinta dipatuh dipateri
Bersalahkah hati jika kata ditanak basi
Senyumku tidak lagi berseni
Malah berkaca benci demi meleret gadis sunti
Arang yang dibeli memadami pelangi
Sinarnya dijamah selumat inai jari manis
merah namun murah marah dalam bermaruah
namun demi tanpa sangsi pada janji Illahi
Langkah ini tidak berkira lagi
Riak bibir berilmu berempati
Lidah persis Burung Rajawali
Atau bicara Puteri Balkis
Katakan apa saja yang mendongengkanmu
Kau hanya ketawa dalam tafsiran makrifat
📚 Artikel Terkait
Dalam keserlahan bayang kau tetap menawan
Biarkan ia pergi tak perlu peduli
Tanpanya kehebatanmu masih sama
TAKHTA
Inilah tangan memaut lengan
taktala jatuh taman lapang
Inilah kedut jemari membetulkan sepatu
taktala tersilap mana benar palsu
Inilah leter berjela tiada noktah
taktala bermain kaca pecah
Inilah jeling menikam samudera dalam
ertinya sukar diramal
Inilah perempuan mengawasi dari kecil hingga gadis hingga terus dewasa
Lalu ia berkata, salin semula segalanya dan kau akan tahu
Bahawa hidup ini hanya satu peralihan
Katanya lagi,
kasihanilah wajahmu yang kau caliti warna
hormatilah akal budimu yang kau simbah ilmu
cintailah impianmu yang kau beli bahagia
Kerana hanya kau yang memahami apa itu erti sayang sebenar
Besarkan anakmu dengan teladan
Nasihati mereka dengan pengajaran
Waspadakan mereka dengan tipu daya syaitan
Jaga cinta untuk tidak dipermainkan
Simpan curiga pada lelaki meragukan
tahu beza mana amalan mana peraturan
mana permainan mana gelanggang
mana tempat istirahat mana tempat selamat
tahu beza mana rahim tempat mula kita disenyawakan
sayang… cinta tidak semua manis sepertimana cinta ibu penuh amaran
🔥 5 Artikel Terbanyak Dibaca Minggu Ini






