Dengarkan Artikel
1.
Fasād Di Tanah Pusaka
Cintaku hanyut ditimpa bala
Air murka turun bertalu
Padang tenggelam zikir lama
Pesisir Selatan runtuh perlahan
Bukit Barisan rebah sujud
Aceh Besar basah doa
Tanah Lonsor di Gayo Lues
Hutan gugur tanpa waris
Telah zahir fasād di darat
Seperti firman Tuhan mengingat
Manusia lupa amanah khalifah
Menjual bumi demi emas
Cintaku hanyut bersama lumpur
Tinggal ayat menjadi saksi
Alkhair Aljohore @ 1
Malaysia
15.12.25
#(Isyarat: Ar-Rūm 30:41)
2.
Sungai Membaca Ayat Murka
Cintaku hanyut di Batang Arau
Sungai menyebut nama dosa
Padang Panjang berlari ke laut
Bukit Talamau meluncur mimpi
Aceh Jaya bercakap hujan
Krueng Aceh menelan rumah
Pohon berjalan tanpa akar
Tanah tidur di atas manusia
Telah rosak darat dan laut
Bukan oleh tangan langit
Ayat jatuh seperti hujan
Namun mata tertutup lumpur
Cinta terapung tanpa iman
Air menghafal kesalahan kita
Alkhair Aljohore @2
Malaysia
15.12.25
#(Isyarat: Ar-Rūm 30:41, Al-A‘rāf 7:56)
3.
Jerit Di Bawah Amanah
Cintaku hanyut dan aku marah
Banjir datang seperti soal
Padang Pariaman rebah
Agam menjerit di perut bumi
Aceh Tengah sesak nafas
Tanah runtuh menutup janji
Siapa khianat amanah ini
Siapa menebang tanpa takut
Tuhan menguji agar kembali
Firman jadi cermin retak
Aku lihat wajah sendiri
Basah lumpur dan angkuh
📚 Artikel Terkait
Cintaku hanyut bersama salah
Air menampar kesedaran.
Alkhair Aljohore @3
Malaysia
(Isyarat: Al-Ahzāb 33:72, Ar-Rūm 30 : 41)
4.
Sebab, Peringatan, Pulang)
cinta
hanyut
padang
tenggelam
agam
runtuh
aceh
basah
air
tanah
fasād
tangan
manusia
kembali
Alkhair Aljohore @4
Malaysia
15.12.25
MONOLOG;
FASĀD DI BAWAH MEJA KUASA
Aku berdiri di hadapan banjir
bukan sebagai mangsa
tetapi sebagai saksi yang enggan lagi diam.
Jangan kau kata ini murka langit semata.
Langit tidak menandatangani lesen,
awan tidak menerima sogokan,
hujan tidak memegang cop rasmi.
Di Padang, pohon ditebang waktu malam
sementara siang kau bercakap pembangunan.
Di Agam, bukit diratakan
atas nama kemajuan dan angka.
Di Gayo Lues, hutan disiat perlahan
dan kau memanggilnya pelaburan.
Di Aceh Besar, tanah runtuh
lalu kau salahkan cuaca.
Firman telah lama memberi amaran:
kerosakan zahir di darat dan laut
oleh tangan manusia sendiri.
Namun ayat itu kau gantung di dinding,
bukan di dalam keputusan.
Engkau memikul amanah khalifah
lalu menukarnya menjadi kontrak.
Engkau berselimut ayat suci
namun tidur di atas peta balak.
Engkau solat di hadapan kamera
dan membahagi hutan di belakang meja.
6
Rakyat kau ajar redha,
tetapi kau lupa taubat.
Kau minta mereka sabar
sementara kau menimbun laba.
Mayat tenggelam jadi statistik,
air mata jadi laporan tahunan.
Ketahuilah,
banjir ini bukan sekadar air,
ia cermin yang Tuhan angkat
untuk menampakkan wajah sebenar kuasa.
Jika hari ini kau lolos dari undang-undang,
jangan kau harap lolos dari pertanyaan langit.
Kerana bumi mencatat lebih jujur
daripada mana-mana parlimen.
Dan apabila air surut nanti,
yang tinggal bukan lumpur semata;
tetapi dosa yang belum sempat
kau bersihkan.
Alkhair Aljohore @5
Malaysia
15.12.25
Biodata ;
Seorang aktivis seni & sastera, Pengerusi Biro
PEMUISI Negeri Perak,Malaysia.
Mempunyai 12 buah buku Solo –Kumpulan Sajak,
Mempunyai 22 Ebook dai tahun2025
🔥 5 Artikel Terbanyak Dibaca Minggu Ini






