Honorarium Jiwa
Nukilan: M. Perindu Seni
Sekeping hati suci
Hargai sekalung budi
Mentafsir fikir muhasabah diri
Mendidik erti makna syukur kendiri.
Tiada yang jengah mengerti
Dalam benak sanubari
Ada suka dalam duka
Ada tangis dalam tawa
Putarannya berputar di ruang hayat.
Uzlah sejenak
Di redup sepi cintai diri sendirian
Mencari rahsia keistimewaan
Membongkar kebijaksanan
Membina yakin kekuatan
Mencakna kepercayaan
Dan menadah nikmat kesyukuran
Rahmat luar biasa tak di sangka daripada Tuhan.
Usah rengsa kata nista
Yang merosak rohani jiwa
Usah percaya indahnya fatamogana
Terlukis dusta di lirik mata
Hidup terus berlapang dada.
Sekeping hati ini
Punya harga diri
Hadapi denai ujian yang menerpa
Dengan sabar dengan reda
Anugerahkan honorarium kesyukuran jiwa
Sekeping hati utuh tumbuh di dunia fana.
Taman Cheras Jaya, Selangor
10 Feb 2025
MERENTASI BUANA MENCITRA BAHASA MELESTARIKAN BUDAYA
Karya: M. Perindu Seni
Dengan melebarkan sayap semarak puisi
Menjelajah benua menciptakan minda bestari
Mewarnakan peradaban menyalakan obor prestasi
Di setiap perjalanan yang penuh wadah ilmiah terpatri.
Selagi belum lelah pengembaraan
Teruskan merentas buana kepelbagaian
Teruskan mentelaah keunikan bangsa
Di situlah akan mengerti adat dan warisan budaya.
Bersama puisi menyeberangi
Ke pulau kehidupan globalisasi
Menemui denyut perpaduan
Walau bukan di bawah rimbun serumpun yang sama
Kerana kuasa bahasa menghubung temali persaudaraan.
Mencitrakan bahasa puisi
Mampu menyatu iklim budaya kehidupan
Mampu merapatkan ikatan kasih sayang
Dan menyantuni perbezaan kepercayaan.
Dengan melestarikan budaya
Maka luaslah jaringan peradaban antarabangsa
Dapat memahami pelbagai keunikan sosial budaya
dan menghormati banyaknya adat, bangsa dan agama.
Di sinilah kemegahan puisi
Menjana kekuatan jati diri
Memelihara subur pohon seni warisan
Mendandani indah taman luas ketemadunan.
Desa Tasik, Sungai Besi
14 April 2022
Marzelan Perindu Seni
AZAB MAKAN SUAP
Bahana rakus kejahilan rasuah
Jalan mudah hidup mewah
Lubuk rezeki cara mudah
Tangan hulur di bawah
Tak kenal taraf manusiawi dari atas hingga bawah
Sang pemakan suap rasa diri hebat dan megah
Asalkan memenuhi kehendak nafsu serakah
Pemberi dan penerima keduanya adalah salah
Demi fulus sanggup hidup menggadaikan maruah.
Mana nilai moral budaya beretika
Mana integriti tatakelola kerja
Musnah nilai suci agama mulia
Tanpa peduli soal dosa pahala
Inilah kelincah najis rasuah
Rosak jati diri bangsa budaya
Runtuh tamadun negara tercinta
Hentikan gelombang jenayah rasuah
Sebelum lakukan itu fikir-fikirkanlah!.
Ingat! sang pemberi rasuah
Ingat! sang pemakan suap
Mulutmu akan terkunci rapat
Tetapi matamu,telingamu,kakimu,tanganmu
Dan seluruh pancainderamu
Akan berbicara di hari perhitungan
Azab dahsyat akan kaurasakan!.
Bertaubatlah dan insaflah!.
Kembalilah dan pulanglah!
Di jalan kebenaran memohon keredaan Tuhan
Sebelum Izrail datang menjemput pulang
Dan pulang dengan sifat mahmudah
Pilihlah rezeki yang suci dan bermaruah
Ayuh tekad membanteras jenayah rasuah!
Ayuh bersama kita perangi durjana rasuah!.
Desa Tasik Sungai Besi, 29 Jan 2022
Biodata Ringkas Marzelan bin Md Jusoh:*
Nama diberi Marzelan bin Md Jusoh. Nama penanya M. Perindu Seni. Dilahirkan di Pendang Kedah. Kini beliau menetap di Taman Cheras Jaya, Selangor, Malaysia. Berkelulusan Diploma Multimedia OUM. Beliau seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia ( ATM), pesara tentera berpangkat Pegawai Waran Satu. Beliau bergiat dalam bidang seni sejak di bangku sekolah sehingga kini. Beliau mula menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan pada tahun 2006 di peringkat ATM. Kini beliau salah seorang peserta SDPK Tahun 2017, 2020 dan 2021. Terlibat dalam pelbagai acara majlis deklamasi puisi yang dianjurkan oleh berbagai-bagai agensi dan persatuan serta beliau sering dijemput dalam bengkel sajak dan seni sastera. Beliau sering di jemput membuat persembahan dalam majlis protokol dan majlis rejimental samaada dalam ketenteraan dan undangan korporat. Selain itu beliau juga dijemput untuk menjadi penilai dan juri sayembara puisi di pelbagai peringkat. Pada tahun 2018 menjadi sejarah dalam hidupnya kerana telah diundang untuk membuat persembahan secara langsung di RTM TV1 sempena Majlis Perlancaran Tabung Rayuan Hari Pahlawan, Deklamasi Puisi Sempena Hari Pahlawan Ke-100 Tahun 2022 dan Persembahan deklamasi puisi sempena Perbarisan Hari Pahlawan 2023 secara langsung di TV3. Karya puisi beliau telah diterbitkan dalam beberapa buah buku antologi puisi antaranya Angin Pangkor, Covid-19, Langit Akrab, Dandani Luka-luka Tanah Air, Malaysia Satu, Yang Kaubunuh Adalah Cinta, Citra Insani, Antologi Puisi Pohon Merdeka, Tali Kerabat, Gelombang Kemanusiaan, Meneka Keakraban, Menganyam Tikar Peradaban terbitan DBP, Jom Membina Jangan Membinasa, Antologi Puisi Makan Suap dan sebagainya.
Beliau jua bergiat secara aktif dalam Persatuan Penyair Malaysia dilantik sebagai AJK, Ahli Seumur Hidup Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Aktivis Seni Puisi Malaysia (AkSiMa). Beliau turut di jemput menjadi juri dalam sayembara deklamasi puisi pelbagai peringkat antaranya Sebagai juri Sayembara Deklamasi Puisi Tari Peringkat Kebangsaan di UMT 2024. Serta mengendalikan beberapa program besar samada anjuran daripada PENYAIR mahupun anjuran bersama dengan persatuan-persatuan dalam negara dan luar negara. Seperti Pengarah Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM )peringkat Kebangsaan, Penceramah Bengkel Manifestasi Seni Deklamasi Puisi, Pembimbing Bengkel Penjurian Deklamasi Puisi Kebangsaan, Penggerak dan Pembimbing Bengkel Penghayatan Deklamasi Puisi Artistik Malaysia, Program Baca Puisi Nanggala 402, Malam Puisi Buat Palestin, Majlis Perlancaran Hari Puisi Malaysia, Pengucapan Puisi Antarabangsa 20 Buah Negara dan Delegasi Malaysia Panorama International Literature Festival 2024.
Sekian terima kasih