Oleh İzzat İsa
Langkawi, Malaysia
Memandang biasan kaca
sewaktu-waktu itu aku adalah si gila
bara memuncak berahi tanpa jeda
entah apa mengundang dusta
entah apa aku bertingkah kapista.
Malam-malam yang tidak tenang
membasahi dengan air penyesalan
balutan intropeksi memeluk diri
akulah papakerma durjana
membakar jalan panjang
dengan janji tidak bertulang
yang mengantungkan kita
dengan suara sepi hati terluka.
Musim bertukar ganti berwajah pudar
darinya aku terikat terpasung gusar
hari-hari bergerak dalam jeriji janji
mengalir mengikut lipatan cerita
bersama gelut gelap derita.
Tentang Pemuisi
Izzat Isa (Muhammad Izzat bin Md Isa) dilahirkan di Alor Setar, Malaysia pada tahun 1988 dan seterusnya menetap di Pulau Langkawi hingga kini. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Universiti Sains Malaysia untuk Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan) (2008-2012) dan Ijazah Sarjana Sastera (Kesusasteraan) (2012-2014). Dalam bidang penulisan, beliau menulis karya kreatif dan non-kreatif seperti puisi, cerpen, skrip sketsa, zine, komentar, resensi buku, prakata, laporan berita, artikel, kertas kerja dan buku. Beliau merupakan ahli Persatuan Karyawan Pulau Pinang dan Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) Negeri Kedah.