Biodata Ringkas Marzelan bin Md Jusoh:
Nama diberi Marzelan bin Md Jusoh. Nama penanya M. Perindu Seni. Dilahirkan di Pendang Kedah, Malaysia. Kini beliau menetap di Desa Tasik, Sg Besi, Kuala Lumpur. Berkelulusan Diploma Multimedia OUM. Sekarang beliau masih bertugas di Kementerian Pertahanan Malaysia, berpangkat Pegawai Waran Satu. Beliau bergiat dalam bidang seni sejak di bangku sekolah sehingga kini. Beliau mula menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan pada tahun 2006 di peringkat ATM. Kini beliau salah seorang peserta SDPK Tahun 2017, 2020 dan 2021. Terlibat dalam pelbagai acara majlis deklamasi puisi yang dianjuran oleh berbagai-bagai agensi dan persatuan serta beliau sering dijemput dalam bengkel sajak dan seni sastera.
Beliau sering dijemput membuat persembahan dalam majlis protokol dan majlis rejimental samaada dalam ketenteraan dan undangan koperat. Selain itu beliau juga dijemput untuk menjadi penilai dan juri sayembara puisi di pelbagai peringkat. Pada tahun 2018 menjadi sejarah dalam hidupnya kerana telah diundang untuk membuat persembahan secara langsung di RTM TV1 sempena  Majlis Perlancaran Tabung Rayuan Hari Pahlawan. Karya puisi beliau telah diterbitkan dalam beberapa buah buku antologi puisi antaranya Angin Pangkor, Covid-19, Langit Akrab, Dandani Luka-luka Tanah Air, Malaysia Satu, Yang Kaubunuh Adalah Cinta, Citra Insani, Antologi Puisi POHON MERDEKA, Tali Kerabat dan sebagainya.
Beliau jua bergiat secara aktif dalam Persatuan Penyair Malaysia serta Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia(PEMUISI) dilantik sebagai Penolong Setiausaha . Beliau turut di jemput menjadi juri dalam sayembara deklamasi puisi pelbagai peringkat. Serta mengendalikan beberapa program besar samada anjuran daripada PEMUISI mahupun anjuran bersama dengan persatuan-persatuan dalam negara dan luar negara. Seperti Pengarah Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia peringkat Kebangsaan, Pengarah Program Baca Puisi Bulanan PEMUISI Di DBP, Pembimbing Bengkel Penjurian Deklamasi Puisi Kebangsaan, Penggerak dan Pembimbing Bengkel Penghayatan Deklamasi Puisi Artistik Malaysia, Program Baca Puisi Nanggala 402, Malam Puisi Buat Palestin, Majlis Perlancaran Hari Puisi Malaysia dan Pengucapan Puisi Antarabangsa 20 Buah Negara.
Sekian terima kasih
1)
Marzelan Perindu Seni
SEANCALA CINTAKU
Â
Bagai dibelai kabus lembut pagi
selembar asmara kian hangat dirasai
tiba dirimu mengutus debaran rindu
pabila syahdu romantika bertahta dikalbu.
Â
Tertebar pancaran rona mentari
di celahan lereng ancala kukuh berdiri
biasan bayangannya terlukis indah
menterjemahkan apa terbuku di jiwa resah.
Â
Entah kenapa?
persoalan menyapa
mungkin keliru
barangkali terkedu
sesat di hutan pilu keresahan
terpaksa mencari ketentuan kebenaran
andai tersalah pilihan
menanggung kendiri derita kepasrahan.
Â
Ternyata!
peritnya mendaki lurah ancala cinta
sayup hati memandang puncak impian
andai tiada kudrat membina tembok kesetiaan
kiranya hati di selubungi ketulusan keretakan
kiranya jiwa di menara harapan kehancuran
pasti benteng cinta suci roboh tanpa keikhlasan
ianya bermula di nadi permatang kejujuran
mendakilah di dataran banjaran penuh kebenaran.
Sungai Besi, Kuala Lumpur.
2).
Sajak: Pohon Hayat Di Hujung Renta
Karya: Marzelan Perindu Seni
Â
Merasa sendu di dalam dada
umpama duri sembilu menusuk-nusuk
kalbu mengeluh
entah mengapa!
entah kenapa!
berterbangan debunga layu ingin berkelana
merawat duka jiwa di hidung jendela
atau termenung hiba nestapa di gigi tangga
berserah noktah takdir di pohon bakti warga.
Â
Bila terkenang detik bahagia semalam
tanpa terasa air mata mula berlinang
kekuatan akar tunjang kian hilang
dedaun berguguran tinggal reranting
pohon usang menanti saat tumbang
bila ditiup angin bayu petang.
Â
Beginikah riwayat pohon tua
tidak lagi rendang berbunga
tiada lagi rasa makna cinta
tiada lagi riang ketawa
cuma menjamah mendung senja.
Â
Pohon hayat ini
berbicara dengan bibir sendiri
menjerit hiba dalam hati sepi
berteman mesra Si Kumbang dan Si Kenari
yang menjadi penglibur lara setiap hari.
Â
Tika di ranum hayat ini
tiada apa lagi yang diimpi
ingin menatap buah permata anugerah
ingin membelai dedaun hijau mencambah
doa kasih disiram pada biji benih
moga mekar bunga berkembang indah.
Â
Di hujung renta pohon ini
hanya berserah ketentuan Ilahi
dalam zikir ketenangan
dalam sujud mencari keredaan
dalam doa memohon keampunan
sebelum dahan rapuh ini jatuh dan rebah
ia rebah terbenam mencium bau ranah bertuah.
                                                Â
Desa Tasik Sg Besi, Kuala Lumpur
5 Feb 2023 Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â Â
3).
Nukilan : Marzelan Perindu Seni
Sajak : Salam Perpisahan
Â
Bayu berhembus  dingin yang kepiluan ini
Menggamit kembali memori terindah semalam
Hati ini luluh bagaikan gelita bulan gerhana
Hilang sirna kerdipan bintang kejora
Akan mengerti kehilangan butir-butir permata.
Â
Sahabat
Kini kalian  terhenti sudah langkah juang pahlawan
Sesekian lamanya mencurah jasa dan bakti
Darah yang mengalir ini bersama semangat waja diri
Keringat yang membasahi pipi
tanda taat setia padamu ibu pertiwi
Demi keamanan dan kesejahteraan anak watan
Kukuh pada sumpah ikrar kesatria
kekal berpadu bermukim di jiwa.
Â
Duhai sahabat
Dalam meniti liku-liku perjuangan ini
Pelbagai onak ranjau berduri kalian tempuhi
Biar pahit manis ditelan jua
Biar berat amanah dipikul bersama
Kerna kitalah tulang belakang dalam perkhidmatan
Kepimpinan dan perlaksanaan itulah diutamakan.
Â
Detik waktu berlalu begitu cepat tidak terasa
Nostalgia silam menjadi kenangan terindah bersama
Terpahat di sanubari kekal termatri diingati
Atas setiap budi dan jasa kalian tiada galang ganti
Akan dikenang di dalam lipatan memori sejarah abadi.
Â
Wahai sahabat
Salam pertemuan begitu mudah diungkapkan
Salam perpisahan amat pedih dilafazkan
Begitulah jua adat resam dalam diari perkhidmatan
Jika ada kekhilafan dan kesalahan
Jari-jemari disusun memohon kemaafan.
Â
Oh, Sahabat!
Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih
di atas segala jasa dan pengorbanan kalian
Usahlah bersedih detik perpisahan ini
Walau Jauh di mata tetapi dekat di hati
Moga kalian beroleh kejayaan dan ketenangan
Bersama iringan doa pengharapan
Agar kalian diberkati dan dirahmati Tuhan
Selamat tinggal sahabat
Selamat tinggal pahlawan.
Desa Tasik Sungai Besi, Kuala Lumpur
6 Feb 2023
4).
Sajak: Nilai Benih Warisan
Karya: Marzelan Perindu Seni
Â
Mari merenung sejenak di halaman pusaka bangsa
segenap nurani membisik nan bahagia
dikala silam melakar indah
tercatat megah sanubari ibu pertiwi
terserlah wadah dalam mencurah jasa  bakti
cekal dalam keperitan memakmur subur benih ini.
Â
Semusim mesra tertebar
terbina benih jiwa kian bersinar
bersalut mulia jasad subur mewangi
menghijau ladang bertamadun diri
bercambah segala cahaya kebenaran  makrifat
keteguhan warisan ini berpandukan syariat.
Â
Marilah kita bersama
bersatu melestarikan warga tercinta
membajai benih amanah tinggalan leluhur bangsa
supaya kukuh kekuatan rohani dan jasmani diri
supaya firasat  benih tidak alpa dibuai khayalan mimpi
supaya benih warisan jadi insan punya harga diri sejati.
Demi nilai benih tampak berseri
kita harus menggorak langkah bijak bestari
agar nilai benih terus segar terjamin asli
bukan hampas yang berbicara terpesong diri
agar diangkat martabat  peradaban warisan bangsa
bukan membiar dihina dicerca dalam  genggaman dursila
agar benih warisan pusaka kekal bermaruah dan mulia.
Kitalah penyambung warisan hakiki
perlu  senantiasa yakin berani
perlu tetap  matlamat diri
perlu kukuh pekerti jatidiri
perlu punya kekuatan iman dihati
semoga  nilai  warisan bangsa budaya
berkilau di ancala persada dunia fana.
Â
Desa Tasik Sg Besi, Kuala Lumpur
1 Jan 2023
Â
5).
Â
SETIA CINTAKU DI SINI TERUKIR
Karya Nukilan: M. Perindu Seni
Â
Setiaku di sini kian membara
Bersama ketulusan kuntum cinta yang mekar terbina
Ku seru cintamu yang jauh dimata
Inginku luahkan suatu terpendam dalam  jiwa nestapa
Bahwa aku tidak pernah melupakan kehangatan kasihmu
Tidak sesekali terpadam api cinta ini padamu
Kerana hati dan perasaan ini telah dirimu miliki.
Â
Di sini setia cinta terukir…
Bagaimana aku boleh mengisinya dengan sesuatu yang lain
Sedangkan cinta kita berada dibenak hatiku
Janganlah dirimu sangsi dengan kesetiaanku
Janganlah dikau pergi membawa sekeping hati  yang  sepi
Kerna aku tidak rela lagi kehilangan cintamu kasih.
Â
Setia cintaku di sini…
Telah aku membina tembok kecintaan yang kental luar biasa
Agar cintamu yang kumiliki tidak terlepas ikatan dari sempadan hati
Dan menghalang sebarang kedukaan hadir untuk ku milikmu
Percayalah tidak pernah henti doa kudus ku panjatkan
Moga kesetian ini dirahmati  dan bersatu ikatan.
Â
Ketahuilah kekasihku…
Cinta yang hadir ini benar-benar untukmu
Demi kesuciannya akan ku bawa dirimu belayar impian
Membina mahligai bahtera cinta
Sempurna bersamamu melayari samudera kasih
Sudikah dirimu akan setia bersamaku
Demi memperjuangkan  cinta suci ini
Percayalah setia cintaku utuh di sini.
Â
Desa Tasik Kuala Lumpur
6 Februari 2023