Dengarkan Artikel
Mᴇʟᴀɴᴛᴀs Nᴀꜰᴀs.
pabila lemas mendekap
bingung meracau
keluh memaut
gagas berkepam
bilah mula sumbing
mentera mula tawar
bisa melayuh
susuk patah
cekam telurai
langkah terganjak
laga kecundang
rasa hilang
maka
hulu perlu dipasak
bilah perlu dijerah
mata perlu dicerah
langkah perlu dikejap
tekad menyikat rasa
zikir membalut jiwa
tegar mengapit semangat
semoga kembali menyala
mengusai sisa selagi ada
-𝚣𝚊𝚌𝚑𝚋𝚊𝚜𝚑𝚎𝚎𝚛.𝟷𝟺.𝚓𝚞𝚕𝚊𝚒.𝟸𝟺.𝚝𝚊𝚗𝚓𝚞𝚗𝚐-
Tᴇᴅᴜʜ.
5 pagi,
guruh merudum di lantai langit,
hujan baru diusir ke bumi,
riuh mengusung jernih dini,
dingin melunak rayap menari,
tenang bercambah melata di sini,
sehingga awan tertangkup kembali…
-𝚣𝚊𝚌𝚑𝚋𝚊𝚜𝚑𝚎𝚎𝚛𝟹𝟷𝚖𝚎𝚒𝟸𝟺𝚝𝚊𝚗𝚓𝚞𝚗𝚐-
📚 Artikel Terkait
Kɪʀɪ.
Duduk di kiri,
juga tempat yang paling selesa bagi aku berdiri
menkedap pijakan ku
mematang langkah ku
mewaras imbangan ku
melurus guntingan ku
menjadikan aku
aku
bukan kayu atau batu
-𝚉𝚊𝚌𝚑𝙱𝚊𝚜𝚑𝚎𝚎𝚛𝟸𝟸𝙼𝚎𝚒𝟸𝟺𝚃𝚊𝚗𝚓𝚞𝚗𝚐-
Tentang Pemuisi
Zach Basheer atau nama sebenarnya Zakaria Basheer Bin Ahmad Basheer adalah anak Peranakan Arab-Melayu Nusantara kelahiran di Tanjung (sebuah perkampungan yang dibuka oleh seorang Putera Acheh pada abad ke 18, Pulau Pinang, Malaysia.
Mendapat pendidikan menengah di sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara, Penang Free School.
Beliau kemudian melanjutkan pengajiannya di peringkat Sarjana Muda Dengan Kepujian di dalam Bidang Komunikasi (Pengkhususan Penyiaran Televisyen dan Penerbitan Filem), di Universiti Sains Malaysia (USM)
Sebaik selepas itu beliau melibat diri di dalam bidang penyiaran televisyen sebagai penulis skrip dan pengurus penerbitan rancangan.
Beliau kemudian kembali ke USM (Rancangan Komunikasi) sebagai tenaga pengajar dan instruktur di dalam bidang penyiaran televisyen dan penerbitan filem. Beliau juga menjadi tenaga pengajar di dalam kursus penulisan skrip dan lakon layar, dan juga kewartawanan foto.
Beberapa tahun kemudian beliau melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di dalam bidang Pengajian Filem di USM.
Sejurus selepas itu beliau menjadi pensyarah di sebuah kolej swasta di Pulau Pinang, mengajar di dalam bidang, Filem dan Televisyen, Photografi, dan Perhubungan Awam.
Beliau hanya aktif di dalam bidang penulisan puisi bermula pada tahun 2019.
🔥 5 Artikel Terbanyak Dibaca Minggu Ini






