Sajak-Sajak Rosli K. Matari

Sajak 5 Desember 2024

Sajak 1

Kulupakan tanggal empat
yang sudah berangkat

hari cepat sekali
susup-sasap seperti mimpi

lagi tinggal, di sini
dingin ini

sebahagian
sisa hujan

dari
dinar-dinar hari

helai kalendar, koyak
atau tidak

harus nipis,
tahun akan habis

seperti pelita
lesai cahaya

tetapi disember,
tak lepas-lepas

dengan angin, menggeser
tajam tempias

dari hujan lebat
seakan-akan buas

daun pun tak berani
menyimpan kata,

“esok itu, ada lagi
untuk hidup bahagia”

Sajak 2

Pada sajak ini,
aku teringat

termometer, dalam sepi
cermat mencatat

bagai membilang
setiap butir hujan

yang datang,
menggigil kesejukan

pada tanya,
“selokan itu, di mana?”

kata-kata, didengar
bergema pada daun

sebagai huruf bergetar
turut disalin, susun

oleh angin
kepada makna lain

——————
*Kosa Kata*

dinar-dinar hari: dinihari.

Rosli K. Matari adalah penyair Malaysia. Beliau dianugerahi gelar Sasterawan Negeri Kelantan 2020 di negerinya dan penerima anugerah puncak sastera Asia Tenggara, SEA Write Award 2021 dikurniai oleh Kerajaan Thailand.

Beliau mencatat: “Sebenarnya, saya amat menyenangi potretonline, namun segan untuk acap mengirim puisi.”

Kumpulan puisi terkemuka beliau, Matahari Itu Jauh (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2015) dengan 56 buah puisi yang tercipta dari lintas jalan kunjungan, kembaranya merentas kota Medan – Danau Toba, Pulau Samosir (Sumatera) pada tahun 2014, benar-benar terpuji menjambatani sastera Malaysia – Indonesia.

– Editor.

Exit mobile version