Oleh Nurul Hanny
Adalah saya Nurul Hanny. Terlebih dahulu memohon jutaan maaf, andai ada kata-kata saya menyinggung mana-mana pihak tertentu dan saya sedari sayapun bukanlah siapa-siapa untuk memberi teguran. Saya cuma mahu memberi pandangan di dalam pertanyaan yang tidak berpuas hati tentang sesuatu sajak dihasilkan. Saya sedar, saya ini tidak hebat manapun di dalam bidang berkarya terutama bersajak.
Saya akui bahawa saya sendiripun masih belajar dan terus belajar mendalamkan lagi ilmu bersajak saya yang saya cintai ini. Maka dengan ini marilah sama-sama kita mengumpul ilham atau idea untuk menghasilkan sajak-sajak yang bermutu dan bermakna serta mudah difahami juga diterima oleh para pembaca khususnya.
Alangkah terkejutnya saya apabila pernah melihat ada sajak-sajak yang tidak masuk akal dan tidak berakal diterima bulat-bulat oleh sesetengah pihak. Seolah sudah tiada lagi sajak yang terbaik yang boleh diterima akal dan yang baik boleh dihasilkan.
Sepatutnya kita mertabatkan sajak-sajak yang ada pengisian dan makna yang boleh dijadikan contoh oleh para pembaca. Bukan buat orang ketawakan hasil karya seseorang sambil menyangka sajak-sajak lainpun begitu juga. Terutama kepada mereka yang baru hendak berjinak-jinak mengenal dan memahami apa itu sajak itu sendiri.
Jika beginilah nasib sajak-sajak kita sebagai pengkarya akan secara tidak langsung dipandang sebelah mata sahaja. Kecuali mereka yang sudah memahami dan cenderung di dalam bidang sajak dan tahu apa itu sajak sebenarnya dan kualiti sajak itu sendiri.
Pasti mereka juga merasa sedih dan terkejut jika ada wujudnya sajak-sajak ‘asal boleh’ boleh diterima tanpa ada sesiapa memberi teguran dan nasihat kepada penulis sajak-sajak yang tiada memberi faedah itu.
Adalah saya sarankan jika ada sesiapa ingin menulis sajak dan hantar kepada mana-mana media cetak atau kumpulan puisi yang sedia ada biarlah sajak-sajak itu yang ada pengisisan, pengajaran, menarik minat atau memikat hati dan mudah difahami orang yang membacanya. Secara tidak langsung ia boleh menaikkan taraf sesuatu karya seseorang ke serata negeri dan seterusnya keluar dari negara kita sendiri seperti ke Indonesia, Berunai dan Singapura yang sudah tersedia sampai ke sana.
Di mana sajak-sajak para pengkarya semakin diminati dan akan menambahkan lagi bilangan pecinta sajak seterusnya nanti , sehingga serata dunia dan bertaraf antarabangsa. Itulah harapan kita agar ke mana kita pergi orang akan bercerita tentang sajak dan bertukar-tukar sajak dan mencari ilham keluar dari kotak fikiran untuk mengembangkan lagi sesebuah sajak yang ada secara meluas lagi.
Akhirnya besarlah harapan saya agar setiap sajak dihasilkan biarlah berasaskan kehidupan, perasaan, alam dan apa sahaja yang ada di dunia ini. Jika boleh janganlah menghasilkan sesuatu sajak yang boleh mencetuskan salah faham, pergaduhan, menyentuh persoalan perkauman, agama dan politik berlebihan. Jika bijak menggunakan kata biarlah secara tidak langsung dan beralas seperti kata bidalan ‘menarik rambut di dalam tepung, jangan sampai tepung berselerak dan rambut pula putus’.
Nurul Hanny
Adalah saya nama sebenar di dalam kad pengenalan adalah Nor Hanidah binti Sheikh Ali. Saya gunakan nama samaran di dalam muka buku sebagai Nurul Hanny. Saya dilahirkan pada tahun1968 dan nama pena saya adalah Nieda pena.
Saya amat menyintai dunia puisi sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Bermula dari suka-suka sehingga terus jatuh cinta secara serius setelah saya ke sekolah menengah di tingkatan empat dan lima bila saya dimasukkan ke dalam kelas AliranSastera. Buat masa ini banyak puisi yang saya tulis namunjarang saya hantar di mana-mana media.