MENCARI RAHMAT-MU
Rejab menyinar
membawa wadah
tanah kerilkil kucangkul
jadikan batas takwa
membina sebuah impian
menyusun wirid berulang
tafakur menyebut nama-Mu
Syaaban namamu kusebut
setiap tangan ditadah
kutabur benih di batas takwa
mencari sebuah hakikat
di sebalik menanti benih tumbuh
membesar berpucuk lalu berbunga
putiknya berteduh di bawah rahmat-Mu
Ramadan menyerlah senyum
batas takwa berbuah ranum
menyusun dari hari ke hari
tanpa peduli lapar dahaga
menunggu gugurnya buah di batas takwa
mengumpul segalanya
menuju rahmat-Mu selama
Abdul aziz ali
Ipoh Perak
13.2.2024
SATU IMPIAN SATU HARAPAN
Hanya satu impian
satu cita-cita abadi
mengasah sebuah harapan
mengasuh anak-anak bangsa
moga celek membilang huruf
Itulah tekad terpahat di jiwa
tanpa mengira bangsa
tidak mengenal lelah tenaga
kerana cinta kepada anak-anak nusa
Ada yang meneroka bukit berselut
mengayuh perahu melawan arus
meninggal keluarga tidak terurus
merentas jalan berduri
demi mencapai hajat sejati
ilmu bukan untuk sendiri
untuk anak bangsa warga sejati
Itulah guru
itulah cikgu
itulah tecer
itulah pengajar
itulah ibu
itulah bapa
itulah pengasuh
demi kita semua
mereka tidak pernah menyesal
mencurah ilmu
agar anaknya menjadi orang berilmu
tidak buta merentasi dunia
biar celek membina kehidupan
Abdul aziz ali
Ipoh Perak
18.2.2024
MERAGUT HUJAN DI LANGIT
Tiada benteng menghalang hasrat
dengan tekad dan semangat
menyampai ilmu dengan cermat
dari mula tiada tamat
Bukan minta simpati
tidak minta disanjungi
tidak juga minta dipuji
ilmu dicurah hanya bakti
Masih nyata pesan ibu
curahlah bakti jangan jemu
biar mereka berilmu
menjalani kehidupan tanpa malu
Sampaikan ilmu bagaikan ibadat
satuni mereka setiap saat
agar hidup dalam berkat
di dunia dan di akhirat
Abdul aziz ali
Ipoh Perak
18.2.2024
Kopi, Ramadhan dan Gaza
pahit kopi tidak sengsara gaza
lapar ramadhan tidak selapar gaza
nafsu zionis menggila di setiap ramadhan
perit sebuah nakhoda
dilambung dentuman bom
runtuhan demi runtuhan
terkorban jasad demi jasad
hari demi hari
berulang
gaza tetap teguh
menunggu secawan doa dimakbul
Abdul aziz ali
Ipoh perak
23.3.2024
Bubur Ramadan
Rasa sesudu wanginya di mangkuk selesa
kembang ulas- ulas beras di perdu hati
biji tasbih berulang membilang nama- Nya
mendidih periuk di tungku
daun pandan diikat rapi
daun kari ditabur bersemandi minyak- minyak impian
bergalang senduk menyantun akrab
seraut pahala direbut lemak bubur dirasa bersama
masa dulu pinggan berganti juadah
ramadan bersopan menyimbah berkat
mengejar lailatul qadar
siang sesama malam
menyambut pemberian-Mu
Abdul Aziz ali
Ipoh perak
27.3.2024