Oleh Rosli K. Matari
Malaysia
kuterima musim gugur ini
sebagai jiwa, nurani
alam,
walau sehelai daun, senyap, sepi
harus luruh lagi
meski sudah luyut malam
seratus tahun, kuperhati
alam bijak berbahagi
cuaca, warna
sebegitu halus, saksama
cermat sekali
menjaga, walau pada debu
yang harus pergi
meninggalkan pasir, batu
hadapan nanti, musim dingin
aku akan lebih tua
di celah sejuk angin,
dan bayangku diam sahaja
mati itu ada,
tetapi aku telah hidup
dengan berani
segala cuaca,
terang, redup
gelita, kuhadapi
kini,
kutunggu salju
datanglah lagi
walau aku ketar, atau kaku
selagi aku berdiri,
aku akan berkata –
“aku berani”,
dua patah kata.
– Rosli K. Matari