Oleh Izzat Isa
Laluan panjang ini memberitahu kita
titik nilai pendoman dan perjalanan masa
tidak mendedahkan luka atas liku-liku sejarah
dan duri durjana terus beramuk kesumat.
Hari ini masih lagi membara rusuh hati
antara ketakutan dan seribu kemarahan
antara tak entang dan surut kemanusiaan
bunga bangsa amsal kertas
pesona untuk wajah negara.
Putaran waktu membuka jendela harian
hari ini kita membaca lagi cerita kecewa
sambutan lebaran besar dan darah dendam
pukulan amarah bersarak dengan memikul korban
jejari membakar batu-batu kepanasan detik ini
manifestasi rasa, wajah celaka mengundang
perarakan kebencian menuju noda kehancuran
ya, antara warna dan perasaan berperang kejam.
Gelegak ambang baru pusaran dangkal
warisan untuk tunas baru dan penerus citra
antara ribut kegawatan dan kerusuhan
inilah kita pewaris asuhan kebencian.
Izzat Isa
Langkawi, Kedah
Muhammad Izzat Md Isa dilahirkan pada tahun 1988 dan berasal dari Langkawi, Kedah. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Universiti Sains Malaysia untuk Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan) (2008-2012) dan Ijazah Sarjana Sastera (Kesusasteraan) (2012-2014). Kini beliau bertugas sebagai Pengurus 3D Art Langkawi di Oriental Village. Dalam aktiviti sosial, beliau telah menyertai Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) Negeri Kedah, Persatuan Karyawan Pulau Pinang, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Friends of Langkawi Geopark (FLAG), Persatuan Penggiat Budaya Warisan Langkawi (PPBWL) dan beliau juga merupakan Setiausaha Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (LAVAA). Dalam bidang penulisan, beliau menulis karya kreatif dan non-kreatif seperti puisi, cerpen, skrip, zine, komentar, resensi buku, prakata, laporan berita, artikel, kertas kerja dan buku. Buku pertamanya telah diterbitkan oleh Penerbit UUM berjudul Jikey: Teater Warisan Langkawi pada tahun 2022. Pengkhususan penulisannya merangkumi bidang sastera, sejarah, seni, budaya, warisan dan pelancongan.