Oleh : M. Perindu Seni
Kuala Lumpur, Malaysia
Sesungguhnya raudhah ramadan
Tiada yang lebih baik dari seribu bulan
Tertebar semerbak haruman kerahmatan
Semusim di halaman raudhah suci
Adalah anugerah istimewa panggilan Ya Rabbi.
Ini raudhah ramadan mulia
Usah mempersiakan hayat usia
Belum tentu musim hadapan hirup udara
Kutiplah kuntuman bunga-bunga pahala
Membaja jariah pepohon raudhah
pemulanya berlimpah barakah.
Di laman raudhah ramadan
Segala dosa dan nista diampunkan
Bagai dedaun kering berguguran
Berpacu istiqamah menyemai benih kebaikan
Dalam raudhah ini pintu-pintu syurga dibukakan
Pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggukan.
Di musim raudhah ramadan ini
Segala amalan dilipat gandakan ganjaran pahala
Kecuali ibadah puasa rahsia yang membalasnya Maha Esa
Kerana puasa perisai yang melindungi bahang api neraka.
Raudhah ramadan barakah
Merimbun pepohon makin tunas kecambah
Penuh debunga wangi pepohon lebat berbuah
Dalam sabar dan cekal menjalani perintah Ilahi
setulus keimanan dan ketakwaan seikhlas hati
lalu kembali asal fitrah manusiawi.
Bahtera Kasih Desa Tasik, K.Lumpur
8 April 2023