Kenikmatan Kopi Berasal daripada Rasa Pahitnya
– Zab Bransah,
Sajak ke – 5
Yang indah-indah itu, pada alam
datang dari siang, malam
bahkan, petir yang berdentum.
Alam ini mengajar hidup,
bersyukurlah walau redup
hujan, panas bersilih
seperti bahagia dan sedih.
Oleh itu, seteguk kopi ini
mengajar aku mengerti,
walau pahit
juga nikmat.
Demikian hidup, kuterima
bahagia, indah tidak semesti
manis-manis sahaja
kerana pahit, besar juga erti.
– Rosli K. Matari
Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan (Malaysia).
Penyair ini dikurnia anugerah gelar Sasterawan Negeri Kelantan pada tahun 2020. Pada 2021 pula sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A. Write) daripada Kerajaan Thailand.
Salah sebuah kumpulan puisi terkemuka beliau khusus mengenai Indonesia ialah ‘Matahari Itu Jauh’ (ITBM: 2015). Kumpulan ini mengungkapkan kembara, sepanjang kunjungannya, lewat antaranya – Medan, Sipiso-piso, Penatapan, Kabanjahe, Brastagi, Simarjarunjung, Danau Toba dan Samosir.
Beliau penerima banyak hadiah sastera berprestij di Malaysia pada keunggulan puisinya.
Biodata disediakan oleh: Zab Bransah.