NAMA PENGKARYA : GURU KIDAL
( I )
aku duduk di rerali jendela mengait sembilan belas kuntum tulip merah untuk februari.sambil melihat awan yang melarikan gembok di dalam hujan yang bertali.aku rindukan ibu lalu ingin menulis tentang bandar ini.
( II )
aku mengambil sehelai kertas dan sebatang pena.kutulis surat kepada ibu.aku berkisah tentang kedinginan hujan yang hanya membasah di atas payungku,memadamkan lilin di kamar tidur lalu segala dingin itu menjahit beku tulang temulangku.tapi aku masih setia menunggu saban malam bulan menjentik sebutir cahayanya lalu membenih tumbuh di puncak bukit pada esok hari ( aku terus menunggu dan terus menunggu ).
aku juga memberitahu ibu tentang baju bajuku yang basah dan bergantungan tetapi di dalamnya masih hangat menghulurkan doa dan pelukan rindu.Aku ingin menukarkan cawan di hadapanku menjadi sebuah perigi yang tabah memindahkan segala yang bertakung di kelopak mata.
( III )
sampai di sini dahulu suratku ibu,seluruh tentang bandar ini kulipat dalam poketku. aku puterimu yang putih di jalan Tuhan selagi Dia mengizinkan.esok aku kait lagi tulip merah dan doa dari jendela.
KENANGAN DARI TIGA MUSIM YANG LAIN
NAMA PENGKARYA : GURU KIDAL
( I )
seekor kuda mendengus lapar
lalu menemukan segenggam rumput di gurun
hingga menjinakkan bunyi perutnya yang liar
( II )
seorang pengembara
mengabadikan sakura merah jambu di ceruk kyoto
harum dan hangat seperti kimono mendiang ibunya
( III )
salju melariskan mafela warna warni
beberapa kotak lilin dan sebungkus besar mancis
penjual itu menangis kerana bakulnya kosong
lalu ia berjalan pulang
membawa kegembiraan menemui anak dan isteri
(IV)
lalu kupetik nota tentang masyhurnya cinta
daripada bapak buya hamka—
‘ jangan mencintai seseorang seperti bunga
kerana bunga mati kala musim berganti
cintailah mereka seperti sungai mengalir selamanya’
Guru Kidal
16122022
SEPOHON DELIMA DI PONDOK PUISI
NAMA PENGKARYA : GURU KIDAL
katamu
puisi bagai sepohon delima
yang menumbuh di sekeliling sutuh
meranum untukku jamah bila genap
buntingku yang pertama
kau ingin setiap butir merahnya
mencambah bijaksana anak anak
seperti Lukman Al-Hakim
aku mengupas teladan
di kepala katil bersama kecup di dahi
esok dan hari seterusnya
sehelai demi sehelai daun daun kecil pohon delima
adalah doa dan cinta kau isi pada
telapak perempuan yang ( bermimpi )
bermain buaian dan membaca segala
16122022
DI LACI WAKTU
sekuntum melur putih
kuselit di tengah buku
buku yang bertanda merah
di laci dan kamarnya kukunci
pada tarikh sembilan belas februari
harummnya berdegup bagai nadi
saat kubuka helaiannya
satu satu bukan di sini
di negeri abadi
sewaktu bertemu bidadari
dalam pilihan doa dan takdir
Guru Kidal
24052022
SEMUSIM WARNA
( I )
aku sedang memasukkan
setitik demi setitik biruku
ke dalam gelas itu
lalu kau bertanya–kenapa biru bukan merah kegemaranku ?
( II )
kerana birunya mungkin padaku–
laut pada mata
nyaman bagai melihat langit
juga pada bait puisiku yang tercetak
( III )
tulus kukatakan-
warnamu adalah biru
hingga aku ingin mendakap
seluruhnya memadamkan
merah pada sumbu
Guru Kidal
12112022
Tentang Penulis
Memakai nama pena Guru Kidal.Orang Kuala Terengganu, Malaysia. Bekerja sebagai guru yang mengajar anak-anak asas membaca,menulis dan mengira di sebuah sekolah rendah di Pahang. Minat menulis dan mencuba menulis semua bentuk karya seperti cerpen,anekdot,pantun,syair gurindam dan puisi moden.Meminati puisi karya Zaen Kasturi dan T.Alias Taib.Puisi moden adalah kecenderungan utama penulis ini.Imej pantai,laut,angin dan hujan merupakan imej kegemaran dalam banyak penceritaan puisi.
PROFIL RINGKAS PENULIS
1.NAMA SEBENAR :ROZITA BINTI MOHAMED BAKI