Malaysia
Sekiranya pagi ini..
Beribu rintik turun dari awan..
Pintalah setitik ..
Buat menikmati kesejukan nikmat pemberian Tuhan…
Kerana semuanya hadir saling berselingan..
Sepertimana kita sering meyakini
” Selepas kesusahan pasti ada kesenangan”
Agar manusia belajar merasai daripada Yang Maha Mengasihi tanpa pengecualian…
Selamat Siang ??
Aku dan naskhah tua ..
Saling sandar menyandar dalam menempuh hidup ..
Aku berterima kasih kepada naskhah tua..
Kerana mengulitku dengan syair-syairnya..
Aku meniti setiap pembayang
Dengan debar menanti maksud
Naskhah tua tertawa
Gelagat muda zaman sekarang
Permainan bahasa sudah jadi luar biasa.
“Cucuku ..bahasa Ibunda kita harta teragung yang kita ada”
Pesan naskhah tua adalah hujan keris
Lembing tepat ke kalbu anak Melayuku
Yang mudah terpukul dan menangis
Aku menikmati rentak gendang perang
Juga serunai yang mengiring
naskhah tua setiap kali dia
membuka pintu sejarah manusia purbakala
Naskhah tua…
Hatiku terkoyak , patah , relai , hancur
Kadangkala lebur tersiram titis airmata
tatkala menyanyikan harapan sealun denganmu…
Akan kupastikan selagi hela nafas masih diizin Tuhan ..
Harapanmu untuk terus bertahan , pahlawan tuaku.
mata-mata yang berharap untuk bertemu
Denganmu bertahun mendatang
Dengarlah ,
Aku akan menjaga Si Langka ,
Naskhah tua ,
Kerana itu amanahku.
Saksi Bisu
Siapa peduli pada ceritamu hai ombak
Sedang engkau tidak henti lelahnya
Bercerita kepada pantai
Dan engkau pula pantai
Siapa peduli pada halusnya pasirmu
Dipijak-pijak..
Digembur-gembur..
Sebentar berjalan sebentar berlari
Siapa peduli pada sengsara atau derita lama
Yang telah kalian berdua rakamkan
Juga bahagia yang disaksikan
Manusia lebih terkejar-kejarkan
Pandangan cantik berkeping-keping
Daripada duduk sebentar
Mendengar cerita kalian berdua
Hingga sampai ke lubuk nurani terdalam..
Di sana akan kedengaranlah
suara
Saksi bisu
Hai laut dan pantai
Serulah Saksi bisu
Tanyakanlah segala dengan nuranimu
Bukankah dulu bangsa melayu itu orang laut yang hebat ?
Ceritakanlah kepadaku,.
Tentang Penulis:
Saya dilahirkan di Kemaman , Kuala Terengganu Darul Iman. Kini menetap di Selangor dan bekerja di Perpustakaan Negara Malaysia , wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai Pembantu Pemuliharaan.
Boleh dihubungi :
FB : Petaka Dan Keberuntungan
e-mail : fazlina@pnm.gov.my