LILIN DAN GERIMIS
( i )
saat kau nyalakan lilinmu
gerimis dan angin
mengepung kita —
dalam persegi ruang
di dalamnya panah syaitan
menyiat kulit ke kalbu.
ini sekadar ujianmu
atau sebetulnya liga
pertandingan menundukkan
matahari yang enggan dingin.
( ii )
saat lilinmu hangus membakar
gerimis tetap basah di kaca
angin tetap rusuh di pucuk
kau kirimkan —
bismillah
lalu padamlah cahaya
di dalam titik malam.
PEREMPUAN DARI MASA LALU
kamar diri selalu sembunyikan
rahsia hati
lalu bintang di langit
menjadi doa yang dihimpunkan
wajah malam tidak pernah
berbohong —
dialah lelaki
untukmu, gugur dari bulan
yang kembang di muara sunyi.
(dibunuhnya sepi saat
matahari senyum di pagi
yang tertunda —
bertahun lamanya).
SEPERTI ANGIN ( ii )
dari ranting dan daunan
tertinggal hanyalah sihirmu
ada (tapi tiada).
bersalaman untuk pergi
yang abadi.
SEPI
telah menjadi getar
dalam angin
kemudian mati di telapak
daun kering —
berdiam
dalam basah dan kering
di bawah langit serupa
tidak bersuara
melainkan
menjadi sangat asing
di perdu waktu.
semuanya adalah getar
tidak lepas ke luar diri.
ZULKIFLI BIN MOHAMED, dilahirkan di Mersing, Johor. Menetap dan berkerjaya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (DG52) di sebuah sekolah menengah di Kemaman, Terengganu. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam pengkhususan Sejarah Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Serta Diploma Pendidikan, Institut Perguruan Darul Aman (IPDA). Ahli seumur hidup IKATAN PERSURATAN MELAYU (IPM). Juga ahli PERSATUAN PENULIS ALAM MAYA MALAYSIA (JOM SASTERA). Telah melibatkan diri dalam penulisan sajak menerusi karya eceran di majalah Al-Islam, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat. Juga di akhbar Harian Ekspres, Berita Harian Ahad, Suara Sarawak dan Wilayah Ku. Turut terlibat dalam 40 buah antologi puisi. Antaranya ialah Antologi Masa Kecil (Cetakan Indonesia), Antologi Prahara Musim Duka, Antologi Suara Dari Suatu Musim dan Antologi KRI Nanggala 402. Turut menghasilkan dua buah kumpulan puisi bertiga (tiga penulis dalam satu buku puisi) iaitu Kamar Tresna Figura Maya dan Cinta Adalah Sebuah Hamparan Cinta. Boleh ikuti perkembangan penulis di Facebook Zulkifli Mohamed. Atau hubungi di e-mel pondokpuisi@gmail.com