Oleh MOHD ADID AB RAHMAN
Berdomisili di Melaka, Malaysia
Seperti biasa kau di sisi hanya beberapa detik, Ramadhan
akhirnya melangkah ke arah matahari terbenam
senada suratan takdir
lalu tiada lagi remah tertinggal di meja sehabis makan
begitulah beruntungnya miliki isteri pembersih
bayangan hati suci jauh dendam dan iri
Melainkan kenangan atas segala kebaikan kauterapkan
membantu dan mengasihi golongan tak berada di sekeliling
hidupi sifat sabar atas kesulitan dan ketaatan
dengan disiplin yang tinggi seperti para anbia
mampukah terukir di tubuh sendiri? Maka berkacalah pada sunyi
di hati ini tumbuh harapan menjadi doa
musim akan datang dianugerahkan lagi pertemuan
rindu hari ke hari pasti tambah menggebu
Esok lebaran sudah, Idul Fitri yang ditunggu-tunggu
sebuah piala kemenangan di ujung perjuangan
hari untuk bergembira dalam anyaman persaudaraan saling memaafkan
sesedap nasi himpit dan lemang terhidang di meja
air tangan ibu kekal menyelerakan luar biasa
tahmid takbir bergema memenuhi keheningan
mengagungkan Ilahi dan tanda syukur
Tentang Penyair :
Mohd. Adid Ab. Rahman. Asal Kelantan dan sekarang bermukim di Melaka. Pesara guru KPM mulai Februari 2022. Pernah menimba ilmu di Universitas Islam Negeri Banda Aceh dan Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor. Menulis sejak do bangku sekolah hingga sekarang, terutama genre puisi. Sudah memiliki puluhan antologi bersama di antaranya Antologi C.Antagonis (ASWARA 2020), Munajat untuk Palestin (PPJ 2021) ‘Kebentangkan Sehelai Peta’ (2014) menjadi teks KOMSAS SPM, Karya tersiar di pelbagai media antara lain Majalah Dewan Sastera, Mingguan Malaysia. Berita Harian, Utusan Borneo, Harian Ekspres. Majalah online seperti Lamanriau.com, Riausastra, Potret Online com, SKSP-LITERARY.com, Sabah360 online. Sekarang menjadi ahli seumur hidup Ikatan PersuratanMelayu Melaka (IPM) serta Persatuan Penulis Melaka (PENAMA)